Pages

Sunday, June 24

OPPS 2020: Mencabul Universiti dan Nilai Ilmu



Tujuh tahun lalu kampus dan arena politik Malaysia gempar dengan pendedahan tentang komplot UMNO menguasai kampus-kampus dengan menggunakan pegawai Hal Ehwal Pelajar dan mahasiswa.  Kali ini peristiwa yang sama berulang bahkan lebih parah.  Andaian saya perkara ini berlarutan saban tahun semenjak tujuh tahun lepas atau lebih cuma kini baru konspirasi ini dibongkar.  Tahniah Pro-Mahasiswa Nasional!

Konspirasi UMNO menawan 20/20 IPTA ini jelas tidak bertanggungjawab.  Mahasiswa dan masyarakat seluruhnya perlu melihat dan menilai konspirasi ini bukan sekadar dari kaca mata politik semata-mata.  Ini bukan sekadar UMNO perkudakan pegawai universiti dan mahasiswa.



NILAI ILMU DAN ILMUAN

Tetapi apa yang lebih menjelekkan ialah ianya melibatkan
universiti yang selayaknya dijulang dan dihormati sebagai nadi ilmu sesebuah negara.  Nilai ilmu tidak sewajarnya diperdagangkan dengan harga murah dengan politik tidak bertanggungjawab.  Ketamadunan sesebuah bangsa dan negara itu bermula dan berkait erat dengan ilmu.  Aristotle, Plato dan ramai lagi sarjana meneguhkan Tamadun Yunani dengan keilmuan.  Kota Baghdad pernah gemilang kerana ilmu dijulang.  Madrasah Nizamiyyah antara contoh peranan ilmu sebagai nadi dalam menggerakkan kemajuan sesebuah tamadun dan negara.

Ini secara langsung memberi gambaran apakah tanggapan kerajaan kepada para akademia dan sarjana di kampus-kampus.  Sudah parah dengan peraturan yang mengikat serta atmosfera kampus yang tidak mencambahkan nilai ilmu semaksimanya.  Sepatutnya kerajaan bersifat rekonstruktif, bukannya menyekat dan mengatur segala-galanya demi agenda politik UMNO.  Apakah semua sarjana di kampus-kampus itu seperti lembu yang sewenangnya diperbodohkan?

"Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat" (Surah Al-Mujadalah: ayat 11)

"Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui." (Surah Az-Zumar:ayat 9)

Islam mengangkat nilai ilmu serta ilmuan.  Justeru, simbiosis antara ilmuan dan pemimpin adalah kunci kepada keutuhan serta kemajuan negara.

AUTONOMI ATAU AUTOKRASI BUAT UNIVERSITI?

Awal tahun ini (25 Januari) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan lima buah IPTA utama diberikan kuasa autonomi.  Antara bidang kuasa autonomi ini ialah pengurusan sumber manusia.  Ini termasuk pengurusan mahasiswa, kebajikan dan hal-hal yang berkaitan mahasiswa.  Tetapi sebaliknya yang berlaku kepada nasib mahasiswa dan universiti.  Lima kampus utama yang diberi autonomi ini
terlibat langsung dalam konspirasi UMNO tawan kampus ini.

"Indah khabar dari rupa", malangnya konspirasi ini hanya melibat beberapa individu penting serta membelakangkan Lembaga Pengurusan Universiti serta pimpinan utama universiti.  Contohnya di Universiti Malaya, menurut kepada minit mesyuarat yang didedahkan yang terlibat hanyalah pegawai Hal Ehwal Pelajar.  Adakah kuasanya lebih besar dari Naib Canselor?  Puncanya ialah universiti tidak bebas.  Autokrasi buat universiti. Saya ingin mengajak kita semua berfikir KEWAJARAN dan KEMUNASABAHAN Kementerian Pengajian Tinggi.

Tidak cukup dengan sistem pendidikan negara kita terkongkong, akademia tidak bebas serta pendidikan dijadikan modal keuntungan berganda melalui pinjaman-pinjaman kepada mahasiswa.  Hari ini satu lagi bukti kepincangan kerajaan dalam mengurus sistem pendidikan negara.  Jika susah sangat mengubah sistem pendidikan, kita ubah sahaja kerajaan!


Syis Abdul Kadir
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Uni. Malaya
PMIUM 2012/13

No comments:

Post a Comment