Pages

Monday, February 28

Belasungkawa Buat Necmetin Najmullah Erbakan.


Necmettin (Najmuddin) Erbakan, seorang pemimpin gerakan Islam politik di Turki dan mantan perdana menteri negara itu, dilaporkan telah meninggal dunia. Erbakan, 85 tahun, meninggal di Hospital Ankara Guven pada Ahad (27/2). Nama Erbakan tidak asing dalam gelanggang gerakan Islam. Beliau pernah menerajui gerakan Islam di Turki dengan membawa banyak pembaharuan dan ijtihad yang baharu.


Pemergian beliau dirasai seluruh gerakan Islam di dunia terutamanya di Turki. Jika kita lihat Erdogan seorang yang lantang, berani serta berstrategi, perlu diketahui bahawa Erbakan adalah sifunya.


Namun mungkin ada kalangan kita yang belum mengenali beliau secara lanjut. Di sini saya cuba kongsikan sedikit latar belakang kepada sosok yang berjasa besar kepada revolusi kebangkitan rakyat yang berlaku di Timur Tengah hari ini.


Siapa Dia Erbakan?




Necmetin Erbakan adalah Perdana Menteri Turki dari tahun 1996-1997. Beliau lahir pada 29 Oktober 1926 di Sinop, Utara Turki. Beliau membesar bersama enam orang adik-beradiknya dalam sebuah keluarga yang berpegang teguh pada paksi Islam. 


Beliau mendapat didikan awal di Trabzon. Kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Tinggi Lelaki Istanbul Lisesi. Kembara ilmunya diteruskan di peringkat universiti apabila ditawarkan ke Universiti Teknikan Istanbul dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal pada tahun 1948. Beliau antara pelajar yang cemerlang dalam akademik bermula di bangku sekolah hingga ke peringkat universiti.


Pengajiannya di universiti tersebut tidak terhenti di peringkat ijazah bahkan beliau berjaya memperoleh ijazah kedoktoran (PhD). Tidk cukup dengan itu, beliau bermusafir ke Jerman demi memenuhkan ilmu di dada. Beliau memperoleh PhD keduanya di RWTH Aachen University, Jerman dalam bidang Kejuruteraan Termo-dinamik. Erbakan merupakan rakyat Turki pertama yang mendapat ijazah kedoktoran dari sebuah universiti di Jerman.


Mencipta Kereta Kebal


Semasa berada di Jerman dari tahun 1954-1956, Erbakan bekerja sebagai jurutera dan saintis. Beliau pernah dilantik sebagai ketua jurutera dalam projek mereka bentuk Kereta Kebal German Leapord 1A. Tahun 1957 beliau pulang ke tanah air dan mendirikan kilang enjin bermotor Deutz. Ia adalah satu kejayaan besar bagi negara dan rakyat Turki kerana berjaya membangunkan industri permotoran bertaraf dunia.


Pada masa yang sama Erbakan turut menjadi pensyarah di Universiti Teknikal Istanbul. Beliau dianugerahkan gelaran profesor dalam bidang fizik pada tahun 1965. Tahun berikutnya beliau terpilih sebagai Pengerusi Dewan Perdagangan dan Industri (TOB) iaitu sebuah pertubuhan industri yang berpengaruh. Erbakan juga pernah diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.


Bertukar Haluan Demi Nasib Sejagat


Melihat nasib Islam dan umatnya yang berterusan diinjak di tanah air tercinta, Erbakan mengambil keputusan untuk memasuki kancah politik. Cubaan kali dengan bertanding di atas tiket bebas dalam pilihan raya bagi merebut kerusi Parlimen Konya. Beliau memenangi kerusi tersebut dengan kemenangan yang besar. Dengan itu beliau menjadi anggota Dewan Perhimpunan Kebangsaan Turki.


Pada tahun 1970. Erbakan menjadi pemimpin Milli Selamet Partisi (NSP) atau Parti Penyelamat Nasional. Tahun berikutnya mahkamah mengharamkan parti tersebut dengan tuduhan cuba menimbulkan kesedaran dan kebangkitan agama yang bertentangan dengan dasar sekular negara tersebut.


Undang-undang bobrok Republik Turki yang mengharamkan NSP langsung tidak memadamkan obor perjuangan beliau. Bahkan makin marak menjulang keadilan. Rentetan daripada itu, dengan lebih berani Erbakan menubuhkan parti Islam pertama di Turki iaitu Milli Nizam Partisi (MNP). Sayap Islam terus merebak dan mencapah ke seluruh Turki. Beliau berjaya membuka cawangan parti ke seluruh negara. MNP memdapat sambutan dan dokongan daripada rakyat mahupun media massa dalam negara kerana dasar Islamisasi seperti memperjuangkan akhlak mulia, keadilan sosial dan kebebasan bersuara. Cubaan pertama parti ini pada pilihan raya 1973 berjaya memenangi 49 daripada 450 kerusi yang dipertandingkan.


Erbakan pernah dilantik menjadi menteri dalam kerajan campuran pada tahun 1974 di bawah Bulent Ecevit dari Cumhuriyet Halk Partisi (Parti Republkan Rakyat). Namun kerajaan campuran ini tidak kekal lama. Ia digulingkan tentera pada tahun 1979. Rampasan kuasa dilakukan oleh pihak tentera setelah menyedari dasar sekular Turki kian terancam oleh kerajaan campuran tersebut. Erbakan juga dilarang melibatkan diri dengan politik selama tujuh tahun.


Berjaya Menawan Turki


Setelah penarikan balik pengharaman berpolitik oleh pihak tentera, Erbakan meneruskan survival Islam dengan menubuhkan Parti Refah (Parti Kebajikan) pada tahun 1983. Sokongan dan dokongan padu rakyat terhadap Parti Refah terutamanya golongan kelas bawahan kerana parti ini membela mereka. Pada pilihan raya 1995 parti ini menang besar sebanyak 158 kerusi.


Kemenangan besar Parti Refah bersama Dogru Yol Partisi (Parti Haluan Benar) yang mendapat 135 kerusi membolehkan satu kerajaan campuran dibentuk seterusnya Erbakan diberi kepercayaan memegang tampuk Perdana Menteri. Namun, musuh tidak berdiam diri. Tekanan pihak sekular Turki mendesan Erbakan meletak jawatan dan akhirnya Parti Refah diharamkan pada tahun 1998. Walaupun singkat tempoh pemerintahan Erbakan, beliau berjaya melaksanakan beberap dasar-dasar Islam seperti pemakaian menutup aurat di tempat kerja.


Patah tumbuh hilang berganti. Pengharaman Parti Refah bukan penutup perjuangan Erbakan. Seterusnya beliau menubuhkan Parti Fazilet. Parti ini turut menang besar dalam pilihan raya 1999 apabila memenangi 111 kerusi parlimen. Namun, seperti mana nasib parti-parti sebelumnya, Parti Fazilet turut diharamkan pada tahun 2001 atas alasan menghidupkan gerakan anti-sekular.


Seterusnya panji perjuangan mendaulatkan Islam di Turki diserahkan kepada anak didik beliau iaitu Recep Tayyip Erdogan. Benarlah telahan bahawa Islam itu tetap terpelihara dan akan didatangkan 'rijal' untuk menjadi penolong agama Allah.


Necmetin Najmullah Erbakan telah melangsaikan hutang perjuangannya dan pergi menhadap Allah dengan senyuman kemenangan. Erbakan telah memulakan perjuangan menjulang nama Allah setingginya serta menyebarluaskan idea faham Islam ke seluruh ceruk muka bumi. Pusaka perjuangan yang takkan lapuk, kitalah pewarisnya!!


p/s: al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment