Pages

Wednesday, August 12

1 Malaysia dari sudut agama


Jika Tun Dr. Mahathir gah dengan Wawasan 2020, Tun Abdullah pula sinonim dengan idealisme Islam Hadhari. Namun kini tiba pula masa untuk Dato’ Sri Najib berpencak di arena kepimpinan negara dengan gagasannya yang makin menjadi bualan sekarang, 1 Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.


Setiap idealisme baru yang cuba dibawa pasti akan mendapat tentangan. Itu lumrah. Namun tetap ada reaksi-reaksi positif untuk menjadikan ianya realiti. Begitu juga dengan laungan 1 Malaysia. Sebagai seorang Islam yang berpendidikan, kita harus memandang isu ini dari kaca mata seorang profesional dan tidak hanya beku dengan pandangan kita yang sentiasa cuba membuka pekong seseorang. 1 Malaysia dari perspektif Islam; Apa pandangan kita?


Yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, agama Islam adalah agama rasmi negara kita. Saya pasti semua orang sudah maklum akan hal ini. Pada pandangan saya sudah pasti gagasan ini tidak menyentuh akan kemuliaan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. Agak bodoh jika seorang Perdana Menteri cuba mengenengahkan sesuatu yang becanggah dengan undang-undang yang digubalnya sendiri. Maka, jelaslah bahawa kepentingan agama tidak akan terhakis seterusnya menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa gagasan 1 Malaysia akan menghakis hak-hak orang Islam dan Melayu dan mewujudkan perpecahan sesama agama dan kaum.


Seterusnya penulis cuba mengajak kita semua untuk mengimbau sirah Rasulullah shallallahu alaihi wasallam. Konsep yang dibawa oleh Baginda ialah penyatuan ummah di bawah satu nama, yakni Islam. Sudah wujud pada ketika itu gagasan “1 Islam” yang mana menyeru sekelian manusia untuk mentawhidkan Allah serta menjunjung perlembagaan Islam secara total. Dengan hanya berkiblatkan al-Quran dan Sunnah, perlembagaan Islam telah menemui satu titik persamaan antara agama, bangsa dan kabilah lain. Di sini penulis cuba mencabar pembaca sekalian untuk membawa satu contoh kezaliman dan kebobrokan pemerintahan Islam samada zaman Baginda Nabi mahupun zaman khilafah. Silakan jika berani.


Sepatutnya tidak menjadi persoalan rasional atau tidak gagasan ini tapi yang perlu kita fokus ialah apakah peranan kita dalam menjayakan visi ini? Bagaimana visi berjaya menuju ke puncaknya tanpa memberi ancaman pada sesiapa? Apakah cara terbaik untuk menyatukan umat Islam? Perlu diingat bahawa kerjasama dengan mereka bukan Islam adalah diharuskan dan Rasulullah shallallahu alahi wasallam sendiri membuktikan akan hal ini. Baginda telah menggunakan khidmat al-Muth’im bin Ady iaitu seorang kafir Quraisy untuk melindungi Baginda ketika ingin masuk ke Makkah setelah pulang dari Thaif. Begitu juga ketika hijrah Baginda bersama Saydina Abu Bakar ke Madinah seorang kafir Quraisy, Abdullah bin Uraiqith telah diberi kepercayaan untuk menjadi ‘kompas’ atau penunjuk jalan sepanjang hijrah ke Madinah. Namun sepanjang hayat Baginda tidak pernah menjalin hubungan kerjasama atau perpaduan dengan golongan munafiq, orang yang ‘cakap tak serupa bikin’. Mungkin juga boleh dipersoal siapa yang bawa idea ini.


Visi islamika Pak Lah, PM ke-5 Malaysia sudah mula tenggelam dek laungan perpaduan yang gah; 1 Malaysia. Oh, indah juga jika kedua-dua gagasan ini digabung. Mungkin bunyinya lebih menarik. “1 Islam: ummah didahulukan kegemilangan diutamakan” atau mungkin “1 agama: Islam didaulatkan perpaduan diutamakan”.


Akhirnya, saya menyeru segenap posisi lapisan masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan visi perpaduan ummah ini. Namun, harus diingat, jika gagasan ini satu penyamaran liberalisme, wajib ditentang. Ingat, keadilan dan kesamarataan itu berbeza. Sangat berbeza.




p/s: artikel ini adalah tugasan penulis dalam subjek Pendidikan Kenegaraan. Penulis ditugaskan untuk membuat sinopsis tulisan Dr. Ismail Ibrahim yang dipetik dari akhbar Utusan Malaysia. Tulisan tersebut tentang 1 Malaysia dari sudut agama.

No comments:

Post a Comment