Pages

Tuesday, August 16

Erti Memberi Pada Kehidupan


Ramadan tahun ini banyak dihabiskan di kampus bersama teman-teman mahasiswa. Walaupun bercuti panjang tetapi itu bukan alasan untuk sekadar bersenang-senang di kampung. Ihya Ramadan PMIUM kali ini menjadikan masyarakat luar kampus sebagai sasaran utama. Ini bagi merealisasikan agenda mahasiswa untuk masyarakat. Antara aktiviti yang dijalankan ialah ziarah mesra dan agihan sumbangan kepada beberapa keluarga terpilih di sekitar Flat Pantai Permai. Selain menyelami perasaan dan berkongsi kasih dengan mereka yang kurang berkemampuan, ia juga menyuburkan amalan bersedekah atau infak di bulan Ramadan. .

Dari Abu Hurairah sesungguhnya Nabi Muhammad  bersabda:
“Tidak ada satu subuh pun yang dialami hamba-hamba Allah kecuali turun kepada mereka dua malaikat. Salah satu di antara keduanya berdoa: “Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang berinfaq”, sedangkan yang satu lagi berdo’a “Ya Allah, berilah kerugian kepada yang bakhil”
(HR Bukhari dan Muslim)

Rasulullah juga turut bersabda dalam hadis lain bagi menyokong hadis di atas:


“Wahai Bani Adam, jika engkau menginfakkan apa yang lebih pada kalian, hal ini lebih baik baginya. Jika engkau kikir (kedekut) hal itu menjadi kejahatan bagi kalian.”

Allah turut berfirman dalam membincangkan perihal infak dan sedekah ;

“Katakanlah: “Sesungguhnya Rab (Tuhan)ku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (Allah) antara hamba-hamba-Nya (Allah) dan menyempitkan baginya.” Dan apa jua daripada sesuatu yang kamu nafkahkan, maka Dia (Allah) akan menggantikannya. dan Dia (Allah) adalah sebaik-baik Pemberi rezeki.”
(Saba’:39)
Ibnu Kathir menghuraikan intipati ayat tersebut dalam tafsirnya, apa sahaja yang kamu infakkan menurut yang diperintahkan Allah dan dibolehkan-Nya, Allah pasti menggantikannya di dunia dan ketika akhirat kelak, pahala yang lebih besar menanti. Tiada kejayaan yang lebih manis selain mendapat syurga di akhirat sana. Subhanallah, besarnya ganjaran infak itu di sisi-Nya.

Allah juga telah berjanji dalam sepotong hadis qudsi yang bermaksud;

“Berinfaklah, maka Aku akan berinfak kepada mu”

Dalam hal ini, terdapat dua perkara penting. Orang-orang yang berinfak, Allah akan member ganti kepadanya, sebaliknya pula orang-orang yang tidak berinfak akan memperoleh kebinasaan. Allah memberi balasan atau ganti tidak semestinya dalam bentuk pertambahan harta atau material semata-mata. Mungkin sahaja Allah membalasnya dalam bentuk yang lain yang lebih baik seperti memperbaiki kehidupan keluarga, memberi kesihatan dan lebih penting beroleh keberkatan dan hidayah yang berterusan. Hasilnya, lahirlah sebuah ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki.

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia, tetapi bekas yang baik daripada amalan yang salih adalah lebih baik pahalanya di sisi Rab (Tuhan)mu, serta lebih baik (untuk menjadi) harapan.”
(al-Kahfi : 46)
Naib Presiden PMIUM, saudari Rohayu Rusli ketika menziarahi seorang ibu yang lumpuh.


Berinfak bukan sahaja pada harta benda, tetapi juga menginfakkan diri dan jiwa pada jalan Allah dalam menegakkan agama Allah. Hiduplah kita di muka bumi ini untuk memastikan agama ini sentiasa hidup. Rasulullah pernah bersabda mengenai keberkatan dan kelebihan hidup pada jalan Allah serta kelebihannya berbanding kemewahan dunia:


“satu saat pada waktu pagi atau subuh di jalan Allah adalah lebih baik dari dunia dan isinya.”
(HR Bukhari)

Akhirnya, maksud sebenar dari doa malaikat yang memohon kebinasaan buat mereka yang bakhil sama sekali tidak terhad kepada kehilangan harta benda tetapi juga kerugian-kerugian lain yang akan menimpa diri, keluarga serta putusnya hubungan dengan masyarakat. Bahkan kehidupan sentiasa diburu kegelisahan dan penderitaan. Pada saat itu, tiada maknanya harta yang bertimbun-timbun. Semoga Allah menyelamatkan kita dari termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi.

Bersama Presiden PMIUM, Muhammad Safwan dan teman-teman aktivis.


Jelasnya,  adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya). Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga). Sebaliknya, orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya. Serta ia mendustakan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan.
(al-Lail 5-10)

Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, bersama kita mengimarahkan bulan ini dengan amalan berinfak dan bersedekah walau sebiji kurma atau sekeping biskut. What you give is what you get back..~


Artikel penuh di web rasmi PMIUM



No comments:

Post a Comment