Pages

Wednesday, June 6

Salam Kejayaan



Pujangga Cina ada menyebut, “Secara semulajadi semua manusia itu sama, tetapi ilmu menjadikan mereka cukup berbeza.” Itulah hakikat kehidupan. Yang bijak pandai terus maju dan ke depan. Ilmu menjadi ukuran semenjak dulu lagi. Plato, Ibnu Sina dan ramai lagi diingat-ingat hingga kini kerana ilmunya. Beruntunglah kalian yang bergelar mahasiswa kerana berpeluang menggali sebanyak mungkin apa itu yang dinamakan ilmu. Persoalannya, berapa ramai yang sedar dan bersegera menggunakan peluang di kampus ini untuk menuju puncak ilmu.

 Peperiksaan kini merupakan penanda aras keberjayaan seseorang walaupun bukanlah kayu ukur mutlak. Dengan menggalas harapan ibu ayah, satu kepentingan untuk berjaya dalam peperiksaan. Dalam al-Quran juga disebut
berulang-ulang perihal usaha mencapai kejayaan. Islam itu menggalakkan umatnya untuk melakukan sesuatu sehabis baik. Ya, ahsanu amala!

 “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang paling baik amalnya…” (al-mulk : 2)

 Sekiranya sebelum ini kita kurang berjaya, ingatlah kejayaan belum tiba buat kita. Kegagalan semalam bukan alasan untuk kita tidak berjaya. Sesungguhnya orang mukmin yang baik itu hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini. Apa yang lebih penting dan terbaik ialah kita berjaya dalam peperiksaan dan kehidupan. Dengan mengamalkan segala ilmu yang diperoleh dibilik kuliah untuk memberi manfaat kepada orang lain. Tiada guna jika berjaya dan berilmu tetapi terus sombong. Ikutlah resmi padi, makin berilmu makin kenal diri dan banyak berbakti.

 “Sebaik-baik manusia dalam kalangan kamu adalah yang memberi manfaat kepada orang lain” (H.R Bukhari)

 Buat seluruh mahasiswa, saya mewakili PMIUM mengucapkan selamat maju jaya dalam menempuh peperiksaan akhir semester yang bakal tiba. Kami juga mendoakan kejayaan buat kalian semua. Moga dengan usaha yang bersungguh-sungguh diberi anugerah kejayaan.

 “Berusahalah, jangan berpuas hati sehingga yang baik menjadi lebih baik dan yang lebih baik menjadi paling baik.” -Larry Bielat.

 Akhirnya, salam kejayaan. Moga segala usaha gigih dalam menuntut ilmu diberi kejayaan serta mendidik jiwa kita untuk mengaplikasikan nilai ilmu dengan mengembalikan manfaatnya kepada kepada masyarakat dan negara.


Syis Abdul Kadir
Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Uni. Malaya
PMIUM 2012/13



Tulisan asal di pmium.net

No comments:

Post a Comment