Pages

Monday, September 12

Buat Mahasiswa






Selamat datang dan kembali ke kampus buat seluruh mahasiswa terutamanya mahasiswa Universiti Malaya. Moga cuti penuh dengan mafaat serta tidak mematikan impian kita untuk terus berjaya.

            Juga ucapan tahniah kepada Lembaga Pengarah Universiti, Naib Canselor dan seluruh warga Uni. Malaya diatas kejayaan meletakkan Uni. Malaya pada ranking ke-167 dunia. Moga ianya menjadi pendorong untuk kita terus berjaya. Juga harapnya moga ranking ini bukan sekadar kosmetik dan peningkatan nombor untuk dibanggakan sedang dalam masa yang sama ianya tidak menyumbang kepada kematangan mahasiswa.



            Perlu diingat akan matlamat kita berhempas pulas di varsiti ini adalah untuk mendapatkan ilmu. Juga perlu diperbetulkan persepsi akan ilmu itu bukan hanya boleh didapati di bilik kuliah semata. Sungguh ilmu itu sangat luas. Saya menyeru kepada teman-teman mahasiswa untuk mengambil peluang yang ada untuk menyertai pelbagai program yang menjana minda dan mencabar idea seperti forum, wacana, bengkel, usrah hatta kuliah maghrib. “Ilmu Puncha Kejayaan”. Satu tema yang perlu dimaknakan.

                Saya bawakan petikan amanat Al-Maududi yang dilafazkan semasa majlis konvokesyen sebuah universiti;


“Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.”

Persoalannya apakah ukuran kejayaan sehingga segulung ijazah ditamsilkan dengan sijil kematian? Apakah pula cahaya kehidupan yang dimaksudkan?

            Pada saya tidak cukup meletakkan kejayaan di dewan peperiksaan dan CGPA yang tinggi sebagai kayu ukur yang konkrit. Itu hanya sebahagian kriteria kejayaan seseorang.
Rasulullah bersabda;

 Sebaik-baik manusia diantaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain ”                                  (HR. Bukhari).

Sejauh mana kita mampu dan mahu memberi manfaat kepada orang lain dengan ilmu yang ditelaah saban hari. Tidak cukup sekadar berteleku menghadap buku, ulang-alik ke kuliah dan menjawab soalan peperiksaan. Praktikal yang akan memaknakan sebuah teori dan idea.
Bicara Bapak Natsir mengenai mahasiswa dan anak muda;

pemimpin tidak lahir dibilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat

            Buat teman-teman mahasiswa, manfaat masa muda dengan sebaiknya untuk menimba ilmu dan pengalaman. Sungguh pentas mahasiswa ini takkan berulang. Idealisme dan aktivisme mahasiswa sangat berharga demi sebuah perubahan. Bersama Menerajui Perubahan.

No comments:

Post a Comment