Pages

Tuesday, February 21

Selamat Kembali Ke Kampus

"Agama tanpa ilmu adalah buta. Ilmu tanpa agama adalah lumpuh." -Albert Einstein

 Sedarlah bahawa tanggungjawab kita dalam memaknakan ilmu dalam diri dan masyarakat adalah beban besar yang harus dipikul. Suluhan ilmu ini perlu menyinar kegelapan jahiliah serta membuka pintu-pintu pembebasan buat masyarakat ini dari belenggu penindasan dan kezaliman.

 Zaman perang terbuka ini lidah yang petah dengan hujah dan akal yang intelek lebih digeruni dari senjata tempur. Nilai ilmu dan intelek tetap akan diangkat dan dihormati. Allah meletakkan orang beriman dan berilmu ke tahap paling tinggi,
seperti ditegaskan Allah dalam firmannya bermaksud:

"Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat." (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

 Sungguh beruntung buat kita yang direzekikan menjana minda dan menimba ilmu di tempat yang bernama universiti. Sungguh pandangan masyarakat kita sangat tinggi pada tempat yang bernama universiti dan segulung ijazah. Namun tidak cukup sekadar itu. Sedarlah tempat yang bernama universiti itu seperti taman ilmu. Seharusnya aktiviti-aktiviti yang mampu mencambah ilmu, mencerna minda, mencabar idea dan melonjakkan nilai keintelektualan perlu menjadi pilihan para mahasiswa dan tidak terhad pada hanya mengelek buku ke bilik kuliah.

 Akhirnya, tahniah buat semua teman-teman mahasiswa yang memperoleh kejayaan dalam peperiksaan akhir semester lepas. Kejayaan ini adalah natijah kesungguhan dan kegigihan selama ini. Namun perlu diingat kejayaan pada peperiksaan bukanlah mutlak memaknakan kalian paling berjaya. Bagi yang kurang berjaya, itulah motivasi terbaik. Orang yang berjaya bukan tidak pernah gagal tapi mereka yang bangun dari kegagalan. Selamat kembali ke kampus dan selamat meneruskan perjuangan.

No comments:

Post a Comment