Pages

Friday, July 31

H1N1: Pandang Sisi YDP

Assalamualaikum dan salam kasih sayang.

H1N1 gemparkan Apium. Bagai semalam kita terdengar berita yang virus ini bermula di Mexico. Namun Maha Agung Allah mencapahkan penularan zarah yang sekelumit itu hingga seantero dunia bising membincangkan perihal 'sang babi'. Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un.

"adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya berkata: kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji."
(al-ankabut:2)

H1N1 satu mehnah dan ujian buat mereka yang mencanang dirinya beriman. Sejauh mana kita beriman? Ayuh kita jadikan medan kuarantin sebagai indikator semantap mana keimanan dan ketqwaan kita.

"dan kami turunkan al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman, sedangkan bagi orang zalim al-Quran itu hanya menambah kerugian." (al-isra':82)

Itulah ciri-ciri mereka yang bergelar mu'min. Setiap keadaan dan situasi tidak melenturkan prinsipnya terhadap Islam. Tegar meletakkan al-Quran sebagai jalan keluar pada setiap tribulasi dan masalah, panduan kala kesesatan, syifa' tika kelemahan dan penghibur saat kesunyian. Mereka yang beriman melihat hikmah atau ibrah terlebih dahulu dari terus menyesali takdir. Beginikah kita? Namun mereka yang tidak beriman terus berkiblatkan nafsu dalam semua hal bahkan merungut serta putus asa dengan ujian. Mereka tidak melihat kesenangan dan kesusahan yang dianugerahkan dengan kaca mata kesyukuran. Itulah sifat mereka yang tidak beriman lagi zalim. Oh, jangan keliru. Mereka yang beriman itu bukan hanya yang baca al-Quran. Tapi keseluruhan kehidupannya dicedok dari wahyu. Membaca dan menterjemah dalam kehidupan seharian. Syukur bila mendapat kemenangan, ujian yang menjenguk kesabaran menjadi benteng. Berakhlak dengan akhlak Islam. Ibadah dan pergantungan semakin meningkat semasa diuji Tuhan. Namun sebaliknya pula mereka yang zalim. Kita golongan mana?

H1N1 satu bala? Saya tidak mahu menghukum. Ujian itu dari Allah. ibtila' juga kurniaan-Nya.

"yang demikian itu kerana mereka (orang kafir) membenci apa yang diturunkan Allah (al-Quran) maka Allah menghapuskan segala amalan mereka. Maka apakah mereka tidak pernah melakukan perjalanan di bumi, sehingga dapat memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka. Allah telah membinasakan mereka, dan bagi orang-orang yang ingkar akan menerima nasib yang sama." (muhammad:9-10)

Nyata. Amaran bagi mereka yang ingkar dan derhaka supaya mereka mengambil istifadhah dari kisah-kisah umat terdahulu. Kita imbau sejarah umat dahulu yang dilaknat Allah. Bagaimana Allah membayar kekufuran kaum A'ad, Thamud dan seumpamanya. Harus diingat bahawa bala itu pelbagai, bencana alam, tersebarnya wabak berjangkit dan seumpamanya. Segala bentuk kemurkaan Allah ini adalah ditempah oleh manusia sendiri, berpunca dari tangan kita yang kotor.

"telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)." (ar-Rum:41)

"dan jika kami hendak membinasakan sesuatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negari itu mentaati Allah, tetapi bila mereka melakukan kederhakaan di dalam negeri itu, maka sepantasnya berlakulah terhadapnya perkataan (hukuman Kami) kemudian kami binasakan mereka sama sekali" (al-Isra':16)

Sahabat yang dikasihi,

Apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah sedikit peringatan untuk bersama. Musibah H1N1 ini satu teguran dari Allah buat kita yang alpa dan lalai supaya kembali kepada hakikat ketuhanan dan mengembalikan status 'hamba' itu pada diri kita secara total. Moga tarbiyyah secara langsung ini bisa melunakkan keegoan kita serta kembali mendekatkan diri pada Azza Wa Jalla yang Maha Pengampun. Ayuh sahabat, bersama kita koreksi diri, muhasabah hati sekerap mungkin. Akuilah bahawa kita telah bersangatan dalam urusan kita hingga mengenepikan Allah. Terimalah ujian ini dengan senyum kesabaran dan air mata keinsafan. Marilah sama-sama kita perkasakan kembali ibadah dan munajat pada-Nya.

Tidak lupa juga supaya sahabat-sahabat mengambil berat tentang kesihatan dan keselamatan diri. Sentiasalah patuhi arahan yang telah dikeluarkan pihak berwajib. Yang paling penting arahan dari langit. Moga kita terus diberkati dan bumi Nilam Puri ini tetap dilindungi dari segala bala bencana. Terima kasih Tuhan kerana masih menyayangi kami yang hina ini.

"Wahai tuhan, kami telah menzalimi diri kami sendiri, sekiranya Engkau tidak mengampunkan dan merahmati kami, jadilah kami golongan yang rugi."

Musibah itu mehnah,mehnah itu tarbiyyah, tarbiyyah itu susah, susah itu perlu pada jiwa yang tabah.


Faqir ilaLlah;

Syis bin Abdul Kadir,
Yang di Pertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
Nilam Puri.

No comments:

Post a Comment