Pages

Tuesday, April 6

Nasihat Buat Pemimpin


"Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah menjadikan pemimpin negara yang adil itu sebagai tunggak yang menahan sesuatu supaya tidak condong. Ia menjadi sumber rujukan kepada yang apa yang dirancang, membaiki setiap yang buruk, memperkuatkan yang lemah dan mengembalikan hak yang dizalimi. Wahai Amirul Mukminin, pemimpin yang adil itu umpama seorang ayah yang penyayang terhadap anaknya, berusaha untuk menjamin kehidupan yang baik dan mengajarnya sehingga besar, berusaha untuk kebaikannya di masa ayah itu masih dan menjamin kebaikan setelah ayah itu meninggal dunia.

"Wahai Amirul Mukminin, pemimpin yang adil itu laksana ibu
yang penyayang dan pengasih terhadap anaknya, mengandungnya dengan kesakitan, melahirkannya dengan kesakitan. Kemudian menjaganya dengan kesusahan, berjaga malam bersama-samanya, tinggal bersama-samanya, menyusu dan melepaskan susu dengan rasa kasihan. Ibu bergembira kalaunya sihat dan merasa sakit kalau anak sakit. Wahai Amirul Mukminin, pemimpin yang adil itu laksana penjaga anak yatim, penjaga barang-barang kepunyaan orang miskin, mendidik anak-anak mereka dan membekalkan kepada orang-orang yang sudah besar. Pemimpin yang adil itu wahai Amirul Mukminin, laksana hati di dalam jasad, kalau baik maka baiklah seluruh anggotanya, kalau buruk semuanya menjadi buruk."

"Pemimpin yang adil itu wahai Amirul Mukminin laksana orang yang berada di hadapan Allah. Dia mendengar firman Allah dan memperdengarkan kepada rakyatnya, melihat Allah dan menunjukkan kepada rakyatnya, mengikut perintah Allah dan memimpin rakyat supaya mengikut bersamanya. Wahai Amirul Mukminin, janganlah engkau menjadi orang yang diberi milik kepadanya oleh Allah seperti hamba yang diberi amanah oleh tuannya supaya menjaga harta dan keluarga, tiba-tiba dia menggunakan harta itu dengan boros dan membiarkan keluarganya dalam kemiskinan."

"Ketahuilah wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah menurunkan hukum hudud supaya mencegah keburukan dan kekejian akhlak. Apakah akibatnya kalau sekiranya orang yang menguruskannya melakukan kekejian dan keburukan. Allah menurunkan hukum qisas untuk memelihara hambanya-hambanya maka bagaimanakah kalau orang yang membunuh mereka ialah orang yang ditugaskan melaksanakan hukum qisas itu."

"Wahai Amirul Mukminin, ingatlah kepada mati dan perkara yang berlaku selepasnya. Nyatakan kepada mereka azab seksa dan huru-hara yang hebat selepas kematian. Ketahuilah wahai Amirul Mukminin, bagimu ada suatu tempat yang lain daripada tempat kamu berada sekarang. Tempat di mana kamu perlu menunggu dalam jangka masa yang lama dan keseorangan. Nyatakan kepada mereka apa yang telah dinyatakan di dalam al-Quran,
يَوْمَ يَفِـرُّ الْمَرْءُ مِنْ أََخِيهِ. وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ. وَصَحِبَتِهِ وَبَنِيهِ

"hari melarikan diri daripada seseorang itu oleh saudaranya, ayahnya, isterinya dan anak-anaknya."

"Ingatlah wahai Amirul Mukminin, bahawa kamu berada di dalam tempoh waktu sebelum tiba ajal dan putusnya cita-cita. Janganlah kamu melaksanakan hukum dengan hukuman hamba Allah dan memerintahnya dengan hukum-hukum jahat. Jangan memerintah mereka dengan mengikut orang-orang jahil, dan janganlah engkau memberi kuasa kepada orang-orang yang sombong dengan menindas orang-orang yang lemah."

"Kamu sendiri yang memikul bebanan dosa kamu bersama-sama dosa yang lain. Janganlah kamu tergoda dengan nikmat yang membawa celaka kepadamu. Mereka memakan yang baik-baik untuk menghilangkan kebaikanmu di hari akhirat. Janganlah kamu memandang kuasa kedudukan kamu pada hari ini, tetapi pandanglah kepada hari esok semasa kamu berada di tali-tali kematian, di hadapan Allah dan di tengah khalayak ramai seperti para malaikat, nabi-nabi dan rasul-rasul. Hendaklah kamu bersikap merendah diri dan ketika berhadapan dengan Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri dengan sendirinya."

"Sekian saja wahai Amirul Mukminin, tidak luput daripada saya perasaan kasih kepadamu dan untuk memberi nasihat. Ketahuilah, setiap ubat tidak sedap tetapi ubat itulah yang akan menyembuhkan dan memberi kesihatan. Wassalam 'alaika, ya Amirul Mukminin."

Yang benar,
Hassan Basri.




Di atas adalah surat dari Hassan Basri kepada Amirul Mukmininnya, Saidina Umar bin Abdul Aziz.

1 comment:

  1. menundukkan hati..bestnye klu pmimpin kita bca n hayati

    ReplyDelete