Saban hari mata kita dihidangkan dengan berita-berita yang amat melangkaui ketamadunan manusia ; Buang Bayi. Samada akhbar mahupun televisyen, berita-berita inilah yang menjadi pilihan ketua editor untuk dipaparkan sebagai tajuk penting dan front page. Saya pasti rakyat Malaysia seorang yang sangat mengambil berat isu semasa. Akhbar pasti dibelek dahulu sebelum melangkah ke kelas dan pejabat walaupun sudah terlewat. Bahkan ada yang menjadi pengulas tak bergaji bila ada masa terluang. Malamnya pula siaran langsung berita lebih menjadi pilihan berbanding kuliah agama dan tazkirah maghrib di surau dan masjid. Syabas buat rakyat Malaysia yang peka. Tetapi adakah anda seorang yang peka dan sensitif? Ya. Kita seorang yang sensitif. Pastinya kita menggeleng kepala bahkan ada yang marah hingga mencarut kepada ibu bapa yang tidak bertanggungjawab tersebut.
Selesaikah masalah dengan hanya mengeluh mahupun cacian?Ayuh kita dasari subjek ini dengan lebih terperinci. Kita renung kembali sirah para nabi. Raja Namrud memerintahkan seluruh bayi lelaki yang baru lahir di Babylon supaya dibunuh dek mimpi yang member gambaran seorang lelaki akan bangkit menentang pemerintahannya. Lalu lahirlah Nabi Ibrahim AS dan ditakdirkan Baginda terselamat dari undang-undang rimba tersebut. Kita belek pula awal sirah Nabi Musa AS yang ditugaskan berhadapan dengan Firaun. Firaun juga memerintahkan agar semua bayi lelaki yang baru lahir dibunuh kerana takut akan mimpinya menjadi realiti. Banyak persamaan di dalam kedua-dua kisah di atas. Antaranya Namrud dan Firaun adalah pemimpin yang kejam, syirik serta mengaku diri sebagai tuhan. Bahkan mengaku berkuasa terhadap manusia hingga mampu mematikan dan menghidupkan seseorang. Dalam dua kisah di atas juga menunjukkan akan kezaliman tanpa belas sehingga menyuruh membunuh bayi yang baru lahir lantaran paranoya akan kehilangan kuasa dan harta. Allah menghantar kepada umat Babylon dan Mesir yang dalam kesesatan masing-masing seorang rasul untuk membawa obor kebenaran serta menjadi check and balance. Mereka berdua dihadapkan dengan ayah yang tidak beriman bahkan menentang (Nabi Musa ayah angkatnya iaitu Firaun) dakwah yang dibawa. Mereka juga sentiasa ditikam dengan tribulasi yang maha dasyat dan mereka berdua juga dikurnia bekalan mukjizat yang membuka mata kebiasaan kaum mereka seperti tidak hangus dibakar api dan dapat membelah lautan.
Beberapa kesimpulan dapat kita buat dengan membanding beza dua kisah di atas dengan kondisi di Malaysia dewasa ini. Pertamanya bila Allah tidak dikiblatkan sepenuhnya segala tindak tanduk dan sikap manusia pasti tidak terpandu hidayah Allah. Tidak kira masuk akal atau di luar batas kemanusiaan semua itu bukan lagi penghalang untuk mencapai sesuatu cita. Bila mana isi kandung al-Quran tidak dinilai dan lantas dipraktikkan dalam kehidupan, kehidupan jahiliyyah menjadi panduan hingga telinga kita dikhabarkan dengan pelbagai kes kebejetan sosial yang teruk. Bayi dibuang dan dibakar dalam tong sampah, ditinggalkan di surau dan seumpamanya. Dasarnya, bila Allah dan agama-Nya tidak diteladani seluruhnya, kehidupan kita tidak dituntun dengan sinaran hidayah bahkan dibiarkan makin sesat lagi menyesatkan.
“pada hati mereka penyakit dan ditambah penyakit itu oleh Allah..” (al-baqarah : 10)
Saya sanjung akan kepekaan dan kecaknaan para pemimpin kita terutamanya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil yang sentiasa turun pada lapangan masyarakat demi menjaga kebajikan mereka. Thumb up juga atas keputusan beliau dan keberanian Ustazah Nuridah Salleh (Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat) yang duduk semeja demi membincangkan masalah umat. Namun kini saya tidak nampak usaha bersama untuk membasmi atau meminimakan segala permasalah yang kian meruncing. Ingat, masalah ini takkan selesai dengan hanya bertanya khabar, menghulurkan saguhati dan seumpamanya. Pernah diriwayatkan bahawa saydina Umar pada zaman kemalapan jahiliyyahnya pernah menanam anak sendiri hidup-hidup. Ada juga yang mempertikaikan bahawa riwayat tersebut berbaur syi’iyyat (unsur syiah). Namun bukan itu fokus kita, apa yang ingin diteliti di sini bagaimana sinaran Islam merobah atmosfera tanah tandus Mekah yang dibelenggu jahiliyyah. Bagaimana panduan Islam dan ajaran nabi menundukkan hati Umar yang sangat bengis dan kejam.
Apa yang perlu diyakini sekarang, acuan Islam mampu menyelesaikan segala permasalahan yang membengongkan para pemimpin kita. Persoalannya kini, bila dasar Islam itu akan tertegak dan siapa pendokongnya?
akhir zaman btul..
ReplyDeletepenjenayahnya masih lagi bekeliaran.Nanti dia ada free dia jenguklah anak 2