Pages

Tuesday, May 25

Tafsir Surah al-Fatihah (siri 1)


Surah al-Fatihah (surah pembukaan)
makiyyah- 7 ayat

بِسْمِ الّلهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ( 1
1. Dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.

( اْلحَمْدُ لّلهِ رَبِّ الْعَاَلمِينَ ( 2
2. Segala puji-pujian terpulang kepada Allah Tuhan yang memelihara semesta alam.

( الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ ( 3
3. Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.

( مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ ( 4
4. Tuhan yang menguasai hari pembalasan.

( إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ( 5
5. Hanya Engkau sahaja (Tuhan) yang kami sembah dan hanya kepada Mu
sahaja kami pohon pertolongan.

( اهدِنَا الصِّرَا َط اُلمستَقِيمَ ( 6
6. Tunjukkan kami jalan yang lurus.

( صِرَا َط الَّذِينَ َأنعَمتَ عَليهِمْ َ غيرِ اَلمغضُوبِ عَليهِمْ وَ َلا الضَّالِّينَ ( 7
7. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat ke atas
mereka bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula
jalan orang-orang yang sesat.


Setiap orang Islam membaca surah yang pendek dan mengandungi tujuh ayat ini sekurang-kurangnya tujuh belas kali sehari semalam dan lebih sekali ganda lagi apabila ia menunaikan solat sunat dan sebanyak-banyaknya tanpa had apabila dia ingin mengadap Allah dengan solat-solat tambahan selain dari solat-solat fardhu dan solat-solat sunat. Setiap solat tidak sah tanpa membaca surah ini. Ini berdasarkan keterangan
hadith al-Bukhari dan Muslim dari Rasulullah S.A.W dari hadith 'Ubadat bin as-Samit: Sabda Rasulullah SAW:
لاصلاة لمن لايقرأبفاتحة الكتاب
"Tiada solat kepada mereka yang tidak membaca Surah al-Fatihah."

Di dalam surah ini terkandung dasar-dasar aqidah dan dasar-dasar kefahaman Islam, juga dasar-dasar perasaan (terhadap Allah) dan tawajjuh (berdoa) yang membayangkan sebahagian hikmah mengapa Surah al-Fatihah dipilih untuk diulang-ulangkan bacaannya dalam setiap rakaat solat dan hikmah batalnya setiap solat yang tidak dibacakan Surah al-Fatihah.

Pentafsiran ayat 1;

Surah ini dimulakan dengan:
( بِسْمِ الّلهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ( 1
1. Dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.

Walaupun ada khilaf mengenai kalimah basmalah ini apakah ia merupakan satu ayat dalam setiap surah atau ia merupakan satu ayat al-Quran yang dimulakan dengannya ketika membaca setiap surah, namun menurut pendapat yang arjah (terkuat) ia adalah satu ayat di dalam Surah al-Fatihah dan dengannya ia dikirakan tujuh ayat. Dan di sana ada suatu pendapat yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan firman Allah 'Azzawajalla:
 وَلَقدْ آتَيْنَاكَ سَبْعًا مِّنَ الْمَثانِي وَالْقرْآ َن الْعَظِيمَ 
 “Sesungguhnya Kami telah kurniakan kepadamu tujuh ayat dari ayat-ayat
yang diulang-ulangkan bacaannya dan al-Quranul Azim"(Al-Hijr:87)

ialah Surah al-Fatihah yang disifatkan sebagai surah yang mempunyai tujuh ayat dan sebagai "al-Mathani" kerana ia diulang-ulangkan bacaannya di dalam solat.

Memulakan sesuatu dengan "nama Allah" itu merupakan satu adab cara yang diwahyukan oleh Allah kepada Rasul-Nya dalam ayat pertama yang diturunkan kepada beliau dengan ittifaq para ulama iaitu:

اْقرَأ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلقَ 
 "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan" (Al-Alaq:1)

Adab cara ini amat sesuai dengan dasar kefahaman Islam yang agung, yang menganggapkan Allah bersifat Maha Awal dan Maha Akhir, Maha Zahir dan Maha Batin. Allah S.W.T. adalah Zat yang maujud yang sebenar dan seluruh maujud yang lain mendapat kewujudan mereka dari kewujudan Allah dan segala permulaan yang lain adalah berpangkal dari kewujudan Allah, kerana itu amatlah wajar segala permulaan, segala harakat atau tindakan dan segala tujuan itu dimulakan dengan nama-Nya. Allah SWT sifatkan diri-Nya di permulaan dengan sifat-sifat ar-Rahman "Maha Penyayang" dan ar-Rahim "Maha Pengasih" iaitu dua sifat yang mencakup segala pengertian, kasih sayang dan kasihan belas dan segala keadaannya. Hanya pada Allah SWT sahaja terkumpul dua sifat ini. Begitu juga hanya Allah sahaja yang wajar disifatkan dengan ar-Rahman "Maha Penyayang". Mana-mana hamba Allah boleh disifatkan dengan sifat ar-Rahim, tetapi tidak boleh disifatkan dengan sifat ar-Rahman dari segi kepercayaan dan lebih tidak wajar lagi dikembarkan kedua-dua sifat itu padanya.

Walaupun terdapat perselisihan pendapat tentang pengertian dua sifat ini, iaitu manakah di antara kedua-duanya yang mempunyai pengertian kasih sayang dan kasihan belas yang lebih luas, namun perselisihan itu
bukanlah dari perbahasan yang kita hendak bicarakan dengan terperinci dalam Tafsir Fi Zilal ini, malah kita hanya membuat kesimpulan sahaja dari perbahasan itu bahawa kedua-dua sifat ar-Rahman dan ar-Rahim adalah meliputi segala pengertian kasih sayang dan kasihan belas juga meliputi segala keadaan dan bidangnya.

Jika memulakan sesuatu dengan nama Allah yang mengandungi maksud mentauhidkan Allah dan beradab sopan dengan-Nya itu merupakan dasar pokok dalam kefahaman Islam, maka pencakupan segala pengertian kasih sayang dan kasihan belas dengan segala keadaan dan bidangnya dalam dua sifat ar-Rahman dan ar-Rahim itu merupakan dasar yang kedua di dalam kefahaman ini dan ia juga menggariskan hakikat hubungan yang wujud di antara Allah dengan para hamba-Nya. 

Setelah dimulakan dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih, maka diiringi pula dengan menghadap Allah serta mempersembahkan kepada-Nya segala sanjungan dan pujian dan menyifatkan-Nya sebagai Tuhan yang memegang teraju Rububiyah yang mutlak terhadap semesta alam.

bersambung......



*ruj : Tafsir Fi Zilal al-Quran (as-syahid Syed Qutb)

No comments:

Post a Comment