Pages

Saturday, November 13

Berkhutbah & Baca Khutbah

Alhamdulillah. Hari ini diberi ruang dan rezeki untuk mendengar khutbah Jumaat yang diidamkan. Mungkin ramai yang bersetuju bahawa khutbah di negara kita berorientasikan tekstual semata-mata. Syabas kepada Us Dzulkhairi (Ketua Pemuda PUM) atas penyampaian khutbah yang memukau bahkan melunakkan hati sidang Jumaat Masjid Tun Abdul Aziz (Masjid Bulat). Teringat khutbah-khutbah yang disampaikan di Masjid ar-Rahman Pondok Sg. Durian. Di sana juga khatib tidak terikat dengan teks. Tujuan tulisan ini adalah ingin berkongsi dengan teman-teman sekalian tentang input penting yang diperoleh tadi. Ia juga bagi menyahut seruan Us Dzulkhairi yang meminta peringatan dan perkongsian tadi disebar-sebarkan. Saya akan bawakan secara ringkas.

Antara amanat penting di dalam khutbah
tadi adalah terapi Syeikh Ibrahim bin Adham. Kisah ini saya kira masyhur dan saya yakin pembaca juga sedia maklum. Kisah yang mana seorang pemuda yang sentiasa tewas dengan pukulan nafsu berjumpa dengan beliau untuk meminta nasihat. Dengan tenang Sang Guru memberi kebenaran kepada pemuda tersebut untuk melakukan maksiat dengan 5 syarat :

  1. Jangan tinggal di bumi Allah,ciptalah bumi sendiri.
  2. Jangan makan rezeki Allah, buatlah kurniaan rezeki dengan kudrat sendiri.
  3. Lakukan maksiat di tempat yang tidak mampu dilihat dan diketahui oleh Allah.
  4. Mampu menagguhkan kematian. Tatkala malaikat maut datang untuk meragut nyawa, mohonlah penangguhan.
  5. Terakhir adalah mampu melawan takdir Allah bila ingin digiring ke neraka kelak.

Antara lainnya khatib menekankan untuk kembali betaubat dan bertaqwa kepada Allah seperti khasy'yah dan raja'nya para sahabat-sahabat Rasulullah. Abu Ubaidah Amir al-Jarrah menukilkan "alangkah baiknya aku menjadi kambing yang disembelih dan dimakan dagingnya.." Inilah gambaran tahap ketaqwaan sahabat kepada Allah, bimbang dengan taklifan sebagai hamba yang akan dipertanggungjawabkan kelak.

Dalam menegaskan kepentingan taubat dan pergantungan dengan Allah, khatib membawa kisah ulama' sufi yamg terkenal, Syeikh Hassan al-Basri. Dalam sesi pengajian, beliau didatangi orang yang mengadu masalah bahawa kampungnya mengalami kemarau panjang. Beliau hanya menasihati supaya beristighfar. Seterusnya beliau didatangi oleh seseorang dan mengadu akan masalahnya iaitu tidak dikurniakan zuriat. Seperti awal tadi, Syeikh menasihati untuk memperbanyakkan memohon keampunan dari Allah. Datang pula yang ketiga dan mengadu tumbuh-tumbuhannya tidak berbuah. Syeikh tetap dengan jawapan seperti tadi, menyarankan supaya memohon keampunan, istighfar. Benarlah pesanan Syeikh, ia selari dengan tuntutan wahyu ;

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.'
  (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;
 Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).
 Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya),"
(Nuh :  10-13)  

Sedikit perkongsian. Moga-moga kita dapat mengambil intipati khutbah demi ibrah dan bekal perjalanan kita  menuju akhirat. Jujurnya, saya mengimpikan khutbah-khutbah di negara kita menjadi medium dakwah yang terbaik. Tidak sekadar bercerita tentang buah-buahan tempatan mahupun pesanan berhati hati di jalan raya. Itulah bezanya BERKHUTBAH DAN MEMBACA KHUTBAH.

1 comment:

  1. teks yang sering dibaca ketika jumaat itu mungkin sekadar penyelarasan yang dibuat antara kawasan.. atau bimbangkan orang menggunakan medium khutbah sebagai pentas politik.. mungkin lah... tapi secara jujurnya saya juga lebih menyukai khutbah yang disampaikan tanpa berskema teks...

    ReplyDelete