Pages

Monday, August 24

Jom Bertamrin



Jom bertamrin. Dah sedia? Sudah tiba sayyidus syuhur yakni Ramadhan. Ada yang panggil bulan puasa, sebab tu mereka hanya berpuasa semata-mata.

Jangan bekukan pemikiran kita. Terimalah hakikat akan segala kelebihan Ramadhan ni. Ada yang menggelarnya karnival ibadah kerana menyedari akan kelebihan-kelebihan beribadah pada bulan ini. Panggillah bulan al-quran, moga kita dapat tingkatkan tadarrus dan tadabbur. Bagilah gelaran bulan tahajjud atau bulan qiamullail supaya kita dapat perkasakan ibadah tersebut. Tingkatkan pergantungan pada Allah. Ya, serulah bulan zikir atau mungkin bulan berdoa. Semuanya bergantung pada kita. Kita hanya berpuasa ju' wa athosh kerana paradigma kita sudah sebati bahawa Ramadhan ini bulan puasa. Puasa semata-mata. Tidak dipasakkan dalam minda bahawa Ramadhan ini sebagai kekesih, murabbi atau mungkin tamrin.

Entri ini hanya sekadar ingin mengucapkan tahniah kepada pembaca sekalian kerana direzekikan hidup pada Ramadhan tahun ini. Bukan ingin bercerita panjang tentang kelebihan-kelebihan bulan ini. Saya juga ingin memohon maaf jika tarikh entri ini dilahirkan agak lewat. InsyaAllah selepas ini saya cuba menulis beberapa siri tazkirah mengenai Ramadhan. Saya akui. Memang Ramadhan kali ini saya kurang bersedia. Astaghfirullah.

Ini Ramadhan kali ke-2 saya di Nilam Puri tetapi dengan status yang berbeza. Dulu junior tapi tidak lagi sekarang. Semester lalu hanya pelajar biasa tapi sekarang dipikulkan sedikit taklifan. Dulu punyai masa dan ruang yang amat-amat luas untuk merebut segala ganjaran Ramadhan tapi kini pebagai kekangan memenuhi jadual ibadah Ramadhan. Dulu mampu khatamkan al-Quran tiga kali tapi sekarang belum tentu.

Buat sahabat-sahabat yang mungkin sibuk dengan pelbagai gerak kerja dan tugasan, teruskan segala usaha kalian tapi jangan jadikannya sebagai alasan untuk kita lepaskan segala peluang ini untuk meningkatkan ibadah. Gerak lebih laju dan terus maju namun tingkatkan ibadah pada kualiti dan kuatitinya. Rapatkan hubungan dengan Allah seeratnya. Munajat dan menangis sepuas-puasnya. Moga tamrin Ramadhan mampu melahirkan pejuang-pejuang yang maju gerak kerjanya dan lunak hatinya pada Allah. Makin lunak dan khusyu'. Moga berjaya sahabat.

Jom bertamrin...

"dan apabila hamba-hamba-Ku bertanyakan kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang-orang yang berdoa apabila dia berdoa kapada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi perintah-Ku dan beriman kepada-Ku agar mereka memperoleh kebenaran" (al-Baqarah:186)

No comments:

Post a Comment