Pages

Saturday, February 4

Maulidur Rasul : Titik Perubahan


Tarikh 12 Rabiul Awal saban tahun kelahiran Rasulullah s.a.w. disambut oleh umat Islam seluruh dunia. Sebagai permulaan saya ingin membawa kajian Syaikh Safiyurrahman al-Mubarakfury dalam buku Sirah Nabawiyyah, menjelaskan bahawa tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w. yang paling tepat ialah 9 Rabiul Awal, bukannya 12. Ini berdasarkan kepada kajian ahli falak. ‎

"Sayyidul Mursalin, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam di lahirkan di tengah kabilah besar, Bani Hasyim di Mekkah pada pagi hari Senin, tanggal 9 Rabi'ul Awwal, tahun pertama
tragedi pasukan gajah atau empat puluh tahun dari berlalunya kekuasaan kisra Anusyirwan. Juga bertepatan dengan tanggal 20 atau 22 April tahun 571 M sesuai dengan analisis seorang 'Alim Besar, Muhammad Sulaiman al-Manshur Furi dan Astrolog (Ahli Ilmu Falak), Mahmud Basya."

Perlu kita ingat dan teliti juga bahawa tarikh kewafatan Rasulullah s.a.w. juga 12 Rabiul Awal. Namun tidak salah untuk kita menyambutnya pada 12 Rabiul Awal. Tidak salah berarak dan berselawat beramai-ramai pada hari tersebut. Juga tiada masalah untuk menetapkan tarikh tersebut sebagai cuti umum kerana cuti adalah yang kita nantikan.

Di Malaysia sambutan Maulidur Rasul dikira meriah dengan acara yang pelbagai bahkan saluran televisyen juga mengambil bahagian. Saya sangat positif dengan suasana ini. Selaku muslim yang mengaku sayang dan cinta kepada Rasulullah, cukupkah hanya sekadar menyambut Maulid dengan bercuti dan menghabiskan sepanjang hari begitu sahaja? Tidak salah untuk berarak mengangkat sepanduk, tapi selepas berarak di bawah terik mentari apa kesannya apa hati dan akhlak kita?

Saya sangat meraikan pelbagai majlis ilmu demi menyambut hari kebesaran ini. Tetapi mengapa pemikiran kita masih dibelenggu dogma "maulud itu 12 haribulan atau bulan Rabiul Awal sahaja". Adakah Rasulullah tidak berjuang pada bulan-bulan lain? Cukupkah menunjukkan kecintaan pada seseorang dengan membeli kek pada ulangtahun kelahiran sahaja sedangkan kita mengabaikannya sepanjang tahun. Masyarakat kita imannya bermusim. Bulan Ramadan semuanya menjadi 'abid dan soleh tapi keperibadian sebenar terserlah bila menjelang Syawal. Begitu juga dengan Maulid. Sepanjang malam berzanji dan berselawat tetapi berapa ramai mereka yang faham, hayati dan mengikuti perjuangan Rasulullah s.a.w.? Oh, saya bukan anti berzanji atau qasidah bahkan saya belajarnya suatu ketika dahulu.

Kelahiran Rasulullah s.a.w. adalah titik mula perubahan yang berlaku pada alam ini. Dari belenggu jahiliah kepada kebenaran Islam. Dari kegelapan moral kepada cahaya peradaban. Para Rasul diutuskan ke bumi bagi menyeru manusia kepada dua agenda penting; menyembah Allah dan menjauhi taghut.

Inilah falsafah kelahiran agung s.a.w. ke muka bumi ini. Temanya ialah "PERUBAHAN".

Beriltizamlah bermula hari ini, sebagai bukti cinta kita kepada kekasih Allah bahawa kita akan lakukan perubahan pada kehidupan kita. Mukmin yang baik itu hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Berubah dari berselawat setahun sekali kepada tiap-tiap hari. Inilah perubahan. Tiada alasan untuk berubah kepada kebaikan. Formula al-Banna mula dengan diri, keluarga dan masyarakat.

Berubahlah dari malas kepada rajin mengkaji. Berubahlah dari sekadar menurut kepada jiwa memimpin. Berubahlah dari sekadar ikut-ikut kepada mencabar dengan hujah. Banyak perubahan yang perlu dilakukan.

Ayuh membina impian perubahan. Impian saya ingin melakukan perubahan kepada pemerintahan negara, dari kerajaan yang sedia ada ada kepada kerajaan yang lebih baik. Anda bagaimana?

-Bersama Menerajui Perubahan-

2 comments:

  1. Salam ziarah, blog yang byk manfaat! terus berkarya untuk Islam

    ReplyDelete
  2. Terima kasih..mg dilapangkan sedikit masa utk terus berkongsi..mohon pandangan kalian

    ReplyDelete