Alhamdulillah, MHS bagi pengambilan 09/10 usai dilaksanakan. Setelah pelbagai perancangan rapi diatur, bermacam strategi disusun dan bertungkus lumus selama lima hari, segalanya berjalan lancar. Sedikit kepincangan dan kelompangan dalam pengurusan program menjadi lumrah. Tanda kekerdilan hamba terhadap Yang Esa. Namun ianya bukan menjadi alasan dan tabiat untuk program-program mendatang. Moga-moga ianya tidak menjadi Minggu Hantu Setan kepada sahabat sekalian.
Masih tidak terlambat untuk saya mengucapkan tahniah dan selamat datang buat pelajar-pelajar baru. Tahniah kerana sudah melangkah ke alam mahasiswa. Sebelah kaki sudah di menara gading, hanya tunggu untuk teruskan perjuangan.
Buat sahabat-sahabat yang bakal menjadi pewaris keilmuan Islam, bersedialah. Bersedialah untuk menghadapi realiti kehidupan. Dalam al-Quran ada telah ditegaskan kepada kita untuk bersedia menghadapi musuh kita hatta musuh Allah. Bersedia dengan kelengkapan perang, tentera berkuda dan seumpamanya. Sememangnya tidak perlulah bagi kita sekarang untuk mengangkat senjata bersedia menghadapi musuh-musuh tersebut namun perlulah kita analisa siapa seteru kita sekarang dan apa yang menjadi penghalang bagi kita untuk menggapai redha-Nya.
Fathi Yakan telah menghuraikan hadith RasuluLlah s.a.w. mengenai fitnah dan mehnah yang akan menimpa orang mu’min dalam buku karangan beliau dan dapat disimpulkan ;
1. Mukmin yang dengki padanya
2. Munafiq yang benci kepadanya
3. Kafir yang memeranginya
4. Syaitan yang menyesatkannya
5. Nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya
Inilah musuh yang akan merencatkan kejayaan kita, seteru yang akan menghancurkan iltizam kita. Maka pasakkan panji aqidah seteguhnya, tajamkan pedang keimanan, tingkatkan latihan pengibadatan, kumpulkan anak panah keilmuan dan sentiasa bersedia dengan musuh dalam selimut yang amat membahayakan, sang riak dan takabbur.
No comments:
Post a Comment