Pages

Wednesday, July 22

Langit ke-7

Entri kali ini mungkin bersambung dengan yang lalu. Masih berkaitan mukjizat Isra' Mikraj. Saya akan cuba berkongsi tentang istafadhah atau moral of the story peristiwa tersebut. Peristiwa agung ini menyingkap pelbagai hikmah, mentafsir seribu erti tersirat, membuka lembaran baru dalam coretan kisah perjuangan Rasulullah, membuka mata hati sang beriman dan menambahkan kekufuran dan dendam pemusuhan ahlul juhala' pada baginda.

Dapat saya ringkaskan beberapa pengajaran daripada musafir Baginda seperti berikut;

  1. Memberi gambaran betapa besar dan mulianya fardhu solat. Solat adalah satu-satunya amalan atau wahyu yang diterima terus dari Allah, tanpa perantaraan Jibril.
  2. Peristiwa ini berlaku selepas amul huzni atau tahun dukacita. Tahun tersebut Baginda ditimpa musubah dan kesedihan berganda dengan kematian paman yang sentiasa menyokongnya iaitu Abu Thalib. Disusuli pula dengan kehilangan sayap kiri perjuangan Baginda, Saydatina Khadijah. Dalam tahun tersebut juga berlaku peristiwa buruk terhadap Baginda saat berhijrah ke Thaif. Ini menunjukkan bahawa setiap kesusahan dan keperitan akan diganjar dengan seadilnya oleh Allah. Baginda mendapat 'bonus' atas segala keperitan yang ditanggung dengan mendapat undangan untuk bertemu secara langsung dengan kekasih hati, Azza Wa Jalla.
  3. Rasulullah adalah penghulu segala rasul dan nabi. Paling mulia dalam kalangan yang mulia. Setiap lapisan langit disambut dan diakui nubuwwah Baginda. Penuh karismatik, cukup mulia.
  4. Umat Muhammad pula adalah umat paling bertuah. Sehinggakan Nabi Musa menangis kerana tidak dapat menjadi umat Muhammad. Para sahabat sangat beruntung kerana dapat hidup, bertemu dan beriman dengan Baginda. Namun kita umat akhir zaman ini juga turut mendapat 'ole-ole' dari Baginda. Lupakah kita akan kisah Baginda menangis merindui akan umatnya yang tidak pernah bersua muka namun tetap beriman, inilah ikhwan Baginda yang sangat dikasihi.
  5. Kemuliaan Baitulmaqdis, di sana tertegaknya Masjid al-Aqsa. Kiblat pertama umat Islam. Masjid yang dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran sehingga menobatkan ia sebagai kota suci ke-3 umat Islam selepas Baitullahilharam di Makkah dan Masjid Nabi di Madinah. Sholahuddin al-Ayubi berpesan: "sesiapa yang berjaya menguasai Baitulmaqdis dia telah menguasai dunia." Wow, patutlah sang zionis laknatullah tergila-gilakan kota tersebut, kononnya Haikal Sulaiman. Tapi apa yang sudah kita buat untuk pertahankannya? Demontrasi, cukup?
  6. Diceritakan bahawa Baginda melihat Sg. Nil dan Eufrat tidaklah membawa erti sungai tersebut berasl dari syurga. Hikmahnya ialah memberi gambaran bahawa risalah Islam menduduki daerah-daerah yang subur di antara dua sungai ini. Dan seterusnya dikembang oleh penduduknya.
  7. Proses tawar-menawar kuantiti waktu fardhu solat, menggambarkan kelemahan dan kekerdilan diri manusia disisi Rabb. Bolehlah saya katakan bahawa umat Muhammad ni malas, malas beribadat. Terutamanya kita. Yang 5 ni dah jaga betul-betul ke? Patutlah Nabi Musa menyuruh mengurangkan lagi. Ya Allah, Kurnialah kami rasa lazat utk bersujud pada-Mu.
  8. Rasulullah diberi pilihan samada memilih susu atau arak. Itulah kehidupan. Ada hitam dan putih, ada kiri beserta kanan, ada baik dan buruk, pahala dan dosa sentiasa berlawan, ada sunnah dan lawannya bid'ah, terbentang sabilillah jua sabilissyaitan dan penhujung nanti ada syurga dan neraka. Wajib memilih 1, tidak boleh tamak menggendong kedua-dua sekali, nanti punah dan sesat. Juga tidak boleh berkecuali. Penghulu kita telah memilih yang fitrah iaitu jalan kebaikan. Ayuh kembali kepada fitrah seorang hamba.
  9. Ada riwayat yg menyebut Baginda bersebdirian tika ke Baitul Ma'mur dan bersemuka dgn Allah. Mengapa Jibril tidak menemani? Nah, kemuliaan manusia mengatasi para malaikat. Ya, malaikat hanya bertasbih mengagungkan Allah tanpa malas dan maksiat kerana itu fitrah mereka. Tanpa nafsu. Hebatnya manusia andai bisa mengekang nafsu dan mendidik jiwa supaya tunduk dan taat pada Allah. Kita mampu, kitalah sebaik-baik ciptaan. Kembalikan kemuliaan dirimu.
  10. Memberi peringatan akan pedihnya azab neraka. Beberapa dosa besar yang mendapat penghinaan namun kita masih bergelumang dengannya. Astghfirullah.
  11. Yakin dengan kebenaran. Tanpa teragak-agak Baginda Rasulullah menceritakan peristiwa yang tak tercapai dek akal pendengarnya. Lihatlah bagaimana Baginda diberi ilham akan gambaran Masjid al-Aqsa tika ditanya oleh golongan musyrik. Inilah pertolongan Allah kepada mereka yang yakin akan kebenaran dan tinggi tawakkal pada Rabnya. Kamu tolong tegakkan agama Allah maka Allah akan tolong kamu. Petikan Kalam suci. Nak ragui lagi? Yakinlah!
  12. Bahana tidak mahu menerima kebenaran, Allah gelapkan hati mereka dan jauhkan dari hidayah-Nya. Balasan untuk kaum musyrik. Ciri-ciri mereka lebih kurang kita, suka berdalih dengan kebenaran, ego, degil, besar kepala. Diberi hujjah yang nyata pun mereka tetap mencari helah untuk tidak beriman.
  13. Lain pula sifat as-Siddiq yang terkena suluhan sinar Islam. Terus membenarkan saat orang lain masih ragu-ragu. Meletakkan kepercayaan tanpa berbelah bahagi kepada Allah dan Rasul. Memahami konsep thiqoh dan wala' pada pemimpin mereka walau apa yang dikhabarkan itu diluar kemampuan dan agak 'gila'.
  14. Jika dilihat pada surah al-Isra' hanya satu ayat sahaja yang mentarjihkan peristiwa ini. Sedangkan ayat-ayat lain menceritakan tentang kebobrokan bangsa Yahudi dan menegaskan bahawa hanya al-Quran pembimbing dan petunjuk kebenaran tak kira dimana, siapa dan bila. Ia tetap relevan. Apakah kaitan dan hikmahnya? Maha Luas Pengetahuan Allah, dijadikan Baitulmaqdis sebagai persinggahan pertama untuk memberi peringatan kepada bangsa Yahudi bahawa telah lahir reformis agung yang akan membenamkan kezaliman mereka. Begitu juga dengan penceritaan tentang keburukan bangsa Yahudi dalam surah tersebut, untuk menegur mereka. Itu juga menandakan bahawa saat0saat kemenangan Islam makin hampir. Islam akan tersebar dengan gahnya ke seluruh pelusuk semesta.
  15. Penggunaan lafaz Subhana, asra & 'abdihi. Dapat dilihat bahawa Allah Taala ingin menekankan konsep kehambaan. Hinanya manusia, hanya hamba. Lebih hina jika HAMBA YANG TIDAK BERSYUKUR.!!

Sedikit perkongsian. Mungkin para pembaca ingin menambah atau tidak bersetuju, dipersilakan komen. Diharap kita sama-sama mendapat manfaat bagi menjadikan diri kita seorang pejuang berjiwa hamba.

No comments:

Post a Comment